HomePoliticsPKPD di pusat koreksional Johor Bahru, lokap Kota Tinggi dan penjara Jelebu

PKPD di pusat koreksional Johor Bahru, lokap Kota Tinggi dan penjara Jelebu

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD bertujuan mengawal penularan COVID-19 dan saringan bersasar dapat dilaksanakan ke atas semua tahanan dan kakitangan terlibat.

PETALING JAYA: Kerajaan mengumumkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Pusat Koreksional Johor Bahru (PKJ) dan Kuarters Kakitangan, Batu 19 Jalan Ulu Choh-Pontian, Johor Bahru berkuat kuasa esok sehingga 10 Jan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan terdapat lapan kes positif COVID-19 di lokaliti itu dalam masa lapan hari, iaitu dari 16 hingga 23 Dis.

“Kes dikesan semasa OKT hadir bicara mahkamah di daerah lain dan terdapat seramai 685 orang dalam kalangan OKT dan kakitangan di PKJ yang terdedah kepada lapan kes positif tersebut.

“PKPD ini akan melibatkan 937 tahanan, 322 anggota dan 128 ahli keluarga yang tinggal di kuarters meliputi 102 unit rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ismail turut mengumumkan PKPD di Dewan Arena Segitiga, Taman Desa Sejahtera, Kota Tinggi, Johor bermula esok.

“Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD ini untuk menempatkan kesemua tahanan yang positif COVID-19 dari lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk mengawal penularan COVID-19 dan saringan secara bersasar dapat dilaksanakan ke atas semua tahanan dan kakitangan yang terlibat,” katanya.

Sehingga kini, KKM melaksanakan 171 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 125 kes positif COVID-19 direkodkan dalam kalangan tahanan di lokap tersebut.

Ismail berkata, PKPD juga turut dilaksanakan di Penjara Jelebu dan Kuarters Kakitangan Penjara Jelebu, Negeri Sembilan bermula tempoh sama.

“Sehingga 22 Disember 2020, KKM melaksanakan 1,086 ujian saringan dan sebanyak 307 kes positif COVID-19 direkodkan, iaitu 305 kes dalam kalangan OKT dan 2 kes warden

“SOP PKPD di penjara ini juga sama seperti yang diumumkan sebelum ini, termasuk tiada pergerakan keluar masuk dan lawatan oleh ahli keluarga tidak dibenarkan,” katanya.

Mengenai PKPD di flat Persiaran Paya Terubong, Relau, Pulau Pinang, beliau berkata, kerajaan bersetuju untuk menamatkan kawalan itu pada hari ini, lebih awal daripada yang dijadualkan pada 31 Dis.

“Sehingga kini, KKM selesai melaksanakan 5,585 saringan ke atas penduduk mengikut blok di lokaliti ini dan sebanyak 113 kes positif COVID-19 direkodkan.

“KKM mengesahkan kes positif COVID-19 di lokaliti ini menunjukkan trend penurunan dan tiada lagi sampel menunggu keputusan,” katanya.

Must Read

Related News