Resit ahli perniagaan palsu, kata mahkamah dalam perbicaraan kes Ku Nan

0
203
Semasa pemeriksaan balas, Chai Kin Kong mengeluarkan resit rasmi UMNO dari dompetnya yang mengejutkan pasukan pendakwaan.

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan cuba menyelamatkan Tengku Adnan Mansor dengan menunjukkan bukti yang memihak kepadanya dalam bentuk resit UMNO berhubung “derma politik” sebanyak RM2 juta walaupun beliau merupakan saksi pendakwaan, kata seorang hakim perbicaraan.

Mohamed Zaini Mazlan dalam penghakiman bertulisnya berkata, oleh sebab itu beliau mengetepikan testimoni Chai Kin Kong hanya berkaitan resit tersebut.

“Pada pendapat saya, Chai menunjukkan sikap memihak kepada tertuduh berkaitan resit itu,” katanya selepas mendapati Tengku Adnan, yang lebih dikenali dengan panggilan Ku Nan, bersalah menerima wang daripada Chai pada 2016.

Zaini berkata, semasa pemeriksaan balas, peguam Tengku Adnan, Tan Hock Chuan, meminta Chai memberitahu sama ada beliau menerima surat penerimaan atau resit bagi membuktikan bayaran dibuat oleh Aset Kayamas Sdn Bhd.

Chai menjawab dengan positif dan mengeluarkan apa yang didakwanya sebagai resit rasmi (UMNO) dari dompetnya.

“Ini mengejutkan pasukan pendakwa yang jelas tidak mengetahui tentang resit itu,” kata Zaini.

Pada Isnin, Ahli Parlimen Putrajaya berusia 70 tahun itu dijatuhi hukuman penjara setahun dan denda RM2 juta atas kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Zaini juga berkata, wang itu dikutip tanpa pengetahuan ibu pejabat UMNO, tetapi disimpan dalam akaun bank Tadmansori Holdings Sdn Bhd, sebuah syarikat yang mana tertuduh mempunyai kepentingan.

Hakim berkata, Chai merupakan kawan lama tertuduh dan mengenalinya sejak tahun 80-an ketika beliau terlibat dalam perniagaan pembalakan di Jerantut, Pahang.

Chai adalah pengarah Aset Kayamas, sebuah syarikat pemaju perumahan dan tertuduh meminta ahli perniagaan itu supaya mengambil bahagian dalam satu projek perumahan mampu milik di Kuala Lumpur ketika beliau menjadi menteri Wilayah Persekutuan pada 2013.

Zaini berkata selepas meneliti resit itu, ia didapati keras dan baru dan “saya menganggapnya luar biasa” memandangkan ia dikeluarkan pada Jun 2016 dan tersimpan dalam dompet Chai.

Katanya, beliau juga mendapati resit itu ditandatangani oleh tertuduh yang pada masa itu merupakan setiausaha agung UMNO dan ketua perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Fakta yang menunjukkan hanya salinan resit itu yang hilang dalam buku resit rasmi juga menimbulkan tanda tanya.

“Lebih menakjubkan ialah tarikh resit itu tidak mengikut urutan resit yang dikeluarkan sebelum dan selepas itu.”

Resit yang dikeluarkan sebelum resit itu bertarikh 12 Nov 2018, dan yang selepasnya bertarikh 16 Nov 2018.

Resit (UMNO) itu bagaimanapun bertarikh 14 Jun 2016.

Hakim berkata, resit itu semata-mata tidak boleh dianggap sebagai bukti yang tidak dapat disangkal bahawa wang RM2 juta itu merupakan sumbangan politik.

Katanya, beliau mendapati sangat luar biasa apabila Chai tidak menganggap penting untuk memberitahu pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai kewujudan resit itu ketika beliau memberi keterangan kepada pegawai agensi itu.

Zaini berkata, beliau menjangka Chai akan memberitahu SPRM mengenai resit itu, walaupun jika ia dijumpai selepas siasatan ke atasnya selesai.

“Kita menjangka beliau akan merebut kesempatan untuk melepaskan tertuduh, bukannya sekadar menyimpan resit itu,” katanya.

Hakim berkata, sangat pelik ia tidak dibuat sekiranya Chai benar-benar menerima resit daripada tertuduh dua hari selepas beliau memberikan cek (RM2 juta) itu.