Dividen ASB tetap antara terbaik, tertinggi berbanding institusi pelaburan lain, kata pakar

0
217

PETALING JAYA: Di sebalik rungutan yang menyifatkan pulangan pendapatan dana tetap, Amanah Saham Bumiputera (ASB), tahun ini tidak kompetitif dan kurang berbaloi, seorang penganalisis ekonomi berkata Permodalan Nasional Bhd (PNB) masih memberikan pulangan pelaburan terbaik berbanding institusi lain.

Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School berkata, institusi kewangan negara seluruh dunia menerima tamparan hebat kerana pandemik COVID-19 dan berusaha menangkis kesan kitaran ekonomi yang merudum.

Bagaimanapun, beliau menjangkakan prestasi suram ini hanya bersifat sementara dan dividen tahunan akan kembali melepasi 5.00 sen tahun depan.

Keyakinan itu berdasarkan kajian oleh Bloomberg baru-baru ini yang menyaksikan Malaysia antara 10 negara membangun dunia yang dijangka pulih, malah mampu menepati jangkaan pertumbuhan pada 2021.

Bank Dunia dalam laporan baru-baru ini mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang 6.7% pada 2021, selepas menguncup 5.8% pada 2020 berikutan pelbagai ketidakpastian seperti penggunaan vaksin yang berkesan dan kepesatan pemulihan pertumbuhan global.

“Pelabur ASB tidak perlu panik dan perlu melihat dana ini sebagai pulangan jangka panjang. Setakat ini, jika lihat pulangan dividen ASB dalam tempoh 10 tahun ini, secara puratanya melebihi 7.50 sen seunit dan ia masih antara tertinggi dalam mana-mana dana pelaburan.

“Jika melihat kepada jangka masa panjang, dengan ekonomi dijangka berada pada landasan pemulihan, saya yakin dividen ASB tahun depan akan kembali melebihi 5.00 sen seunit,” katanya kepada FMT.

Tambahnya, kadar dasar semalaman (OPR) yang ditetapkan Bank Negara juga rendah ketika ini, dan ia dilihat seimbang dengan pulangan yang diterima oleh pelabur terutama mereka yang melanggan skim pinjaman ASB.

“Sekarang ni kadar OPR ialah 1.75% dan kebiasaannya kadar pinjaman sekitar 3-4%. Pelabur tetap meraih sedikit keuntungan daripada dividen yang diumumkan pada hari ini,” katanya.

Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) baru-baru ini mengumumkan agihan pendapatan 4.25 sen seunit dan ehsan 0.75 sen seunit untuk dana utamanya, ASB bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020.

Pengagihan ehsan 0.75 sen seunit dibayar untuk 30,000 unit pertama kepada pemegang unit sempena ulang tahun ke-30 ASB.

Agihan pendapatan itu membabitkan pembayaran pengagihan sebanyak RM7.6 bilion kepada 10.2 juta pemegang unit amanah.

Pendapatan itu dianggap sebagai pulangan terendah dalam sejarah dana tetap berkenaan.