Najib pujuk kerajaan buat perutusan khas selepas kes COVID-19 cecah 100,000

0
202
Najib Razak.

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak memujuk kerajaan supaya membuat suatu perutusan khas untuk tenteramkan rakyat selepas jumlah keseluruhan kes COVID-19 melepasi 100,000 kes semalam.

Beliau mengingatkan kerajaan akan impak angka sebegitu besar kepada psikologi rakyat, percaya ianya mengundang kebimbangan serta kemarahan ramai.

“Saya juga perhatikan ramai yang kecewa kerajaan Perikatan Nasional seolah-olah membisu,” katanya.

“Kerajaan perlu bersemuka dengan rakyat melalui perutusan khas untuk jelaskan situasi sebenar COVID-19 serta apa langkah tambahan yang sedang diambil.”

Katanya, kerajaan tidak boleh berdiam diri dan perlu tenteramkan rakyat yang bimbang serta marah.

“Supaya rakyat terus rasa selamat dan dijaga kerajaan,” katanya.

Jumlah keseluruhan kes jangkitan COVID-19 melepasi 100,000 kes dengan pertambahan 1,581 kes jangkitan baharu semalam.

Dengan 100,318 kes, Malaysia kini antara 75 negara yang melaporkan enam angka kes sejak pandemik melanda.