Pintu sempadan masih tutup kecuali urusan kecemasan, kata Ismail

0
214
Pintu sempadan negara dibuka bagi urusan kecemasan serta ekspatriat kategori satu membabitkan urusan pelaburan dan perniagaan.

PETALING JAYA: Kerajaan masih menutup pintu sempadan antarabangsa dan tidak membenarkan kemasukan pelancong secara terbuka buat masa ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, ini berikutan beberapa negara luar menunjukkan peningkatan ketara kes positif COVID-19 terutama di Eropah.

“Saya ada hubungi rakan di United Kingdom yang memberitahu kes kematian setiap hari di sana menghampiri 30,000.

“Buat masa ini, biar Kementerian Kesihatan buat penilaian risiko dan pada masa sama kita memantau rapi situasi semasa COVID-19 negara lain,” katanya pada sidang media.

Bagaimanapun, Ismail berkata, pintu sempadan negara masih dibuka bagi urusan kecemasan serta ekspatriat kategori satu membabitkan urusan pelaburan dan perniagaan.

“Buat masa ini, kebenaran dah ada tetapi terhad berdasarkan kebenaran pihak Imigresen. Untuk membuka pintu sempadan, kita sedang melihat, mengkaji dan berbincang…perkara ini akan kita maklumkan nanti.”

Ditanya adakah kerajaan akan meneruskan khidmat pasukan petugas kebangsaan (NTF) selepas berakhirnya COVID-19, beliau berkata perkara itu bakal dibincangkan dalam mesyuarat akan datang.

“Secara peribadi, melihat kepada kejayaan pasukan itu menerusi Operasi Benteng yang dilaksanakan setiap hari, saya mahu pasukan ini diteruskan untuk membantu mengawal sempadan negara daripada dibolosi,” katanya.