
PETALING JAYA: Kerajaan bersetuju membenarkan kemasukan pelajar antarabangsa di kampus secara fizikal bagi sesi pembelajaran 2021 berkuatkuasa 1 Januari ini.
Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran itu bagaimanapun dikecualikan untuk pelajar dari United Kingdom (UK) berdasarkan situasi semasa COVID-19 di negara itu.
“Pelajar yang terbabit adalah pelajar baru dan lama yang sudah pun mendapat tawaran dari universiti swasta dan awam di negara ini.
“SOP juga tetap sama yang mana mereka perlu menjalani ujian saringan tiga hari sebelum datang ke negara ini dan ujian swab di pintu masuk negara semasa ketibaan serta menjalani kuarantin wajib 10 hari di pusat kuarantin dikhaskan,” katanya pada sidang media.