Lebih 7,000 mangsa banjir di Terengganu, Kelantan dipindahkan

0
263
Peniaga roti canai dan masakan Mohd Fadli Mat Zain, 45, mengambil pesanan pelanggan di kedainya di pekan Rantau Panjang di Pasir Mas hari ini. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Situasi banjir di pantai timur Semenanjung semakin teruk dengan jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga 8 pagi tadi meningkat kepada 7,308 orang berbanding 6,627 orang petang semalam.

Di Terengganu, jumlah mangsa meningkat kepada 6,305 orang daripada 1,663 keluarga setakat 8 pagi tadi berbanding 5,776 orang (1,478 keluarga) pada 4 petang semalam, yang membawa kepada pembukaan tiga lagi PPS, menjadikan keseluruhan 49 PPS setakat ini.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Che Adam A Rahman berkata, Kemaman daerah paling teruk terjejas dengan jumlah mangsa mencecah 5,108 orang (1,238 keluarga) berbanding 4,729 orang (1,135 keluarga) petang semalam.

“Jumlah PPS di Kemaman kekal di 25 lokasi, namun peningkatan jumlah mangsa susulan beberapa penempatan penduduk dinaiki air awal pagi tadi akibat air pasang,” katanya.

Di Dungun, jumlah mangsa meningkat kepada 381 orang (104 keluarga) di 10 PPS berbanding 326 orang (95 keluarga) di tujuh PPS sebelum ini, manakala di Hulu Terengganu, jumlahnya bertambah daripada 710 orang (245 keluarga) petang semalam kepada 806 orang (318 keluarga) hari ini.

Di Setiu, mangsa kekal 11 orang daripada tiga keluarga di sebuah PPS.

Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal http://infobanjir.water.gov.my melaporkan paras air tiga sungai di dua daerah masih melepasi paras bahaya setakat 8 pagi, iaitu Sungai Tebak di Jambatan Tebak, Kemaman setinggi 18.56m (paras bahaya 18.5 m); Sungai Kemaman, Kemaman setinggi 5.12m (paras bahaya 4.5m) dan Sungai Dungun di Jambatan Jerangau, Dungun setinggi 12.81m (paras bahaya 12.5m).

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir di empat daerah melonjak kepada 1,003 orang sehingga 8 pagi tadi berbanding 851 mangsa petang semalam, dengan Gua Musang menjadi jajahan terbaru selepas Tanah Merah, Kuala Krai dan Pasir Mas.

Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebuah lagi PPS dibuka di Sekolah Kebangsaan Limau Kasturi, Gua Musang bagi menempatkan 13 mangsa daripada dua keluarga, termasuk seorang bayi perempuan dan seorang wanita warga emas.

Setakat ini, Pasir Mas kekal mencatatkan jumlah tertinggi, iaitu 603 orang (197 keluarga), termasuk dua orang kelainan upaya di 10 PPS, Kuala Krai (226 mangsa daripada 56 keluarga, termasuk dua OKU di tujuh PPS) dan Tanah Merah (161 mangsa daripada 42 keluarga di enam PPS).

Mengikut laporan infobanjir.water.gov.my, setakat 8 pagi tadi, tiga sungai di Kelantan mencatatkan bacaan melebihi paras bahaya, iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang mencatatkan 10.43m (bahaya 10 m), Sungai Kelantan di Kuala Krai 25.15 m (bahaya 25m) dan sungai di Kg Temangan, Machang 17.43m (bahaya 15.9m).

Tiga sungai yang mencatatkan bacaan melepasi paras amaran pula ialah Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah dengan bacaan 15.93m (amaran 14m) , Sungai Golok di Jenob Tanah Merah 22.65 m (amaran 22.5m) dan Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat 2.38m (amaran 2.15m).

Sementara itu, dua sungai di negeri ini mencatatkan bacaan melebihi paras berjaga-jaga, iaitu Sungai Galas di Limau Kasturi, Gua Musang 57.49 m (waspada 56.00 m) dan Sungai Kelantan di Jeti Kastam Kota Bharu 3.75 m (waspada 3 m).

Lebih ramai penduduk dijangka terjejas dan dipindahkan, susulan hujan sesekali lebat di seluruh Kelantan ketika ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Mohd Wildan Azhari menasihatkan penduduk tidak mengambil risiko berpindah sendiri ke PPS tanpa pengawasan agensi keselamatan.

“Ini sebenarnya bahaya. Kita takut sekiranya mereka (mangsa) tidak mendapat maklumat lanjut dari mana berlakunya limpahan air ketika banjir, ini boleh mengakibatkan terjadinya perkara tidak diingini seperti kenderaan tersekat di tengah jalan dan kes hanyut,” katanya yang bimbang susulan lebih 80% mangsa bertindak menggunakan bot persendirian dan berjalan kaki.