Selamatkan Zoo Negara dan jadi sebahagian dari sejarah

0
204
Jadilah sebahagian daripada sejarah Zoo Negara dengan memahat nama anda di dinding Zoo Negara.

KUALA LUMPUR: Pandemik COVID-19 telah melumpuhkan ekonomi, begitu juga dengan Zoo Negara. Menempatkan pelbagai spesies haiwan yang dahulunya meriah dengan kunjungan ramai, kini terbiar. Zoo Negara menghadapi masalah kewangan yang turut memberi kesan kepada haiwan-haiwan yang dipelihara.

Pelbagai usaha telah dilakukan oleh kebanyakan rakyat Malaysia untuk membantu memulihkan ekonomi Zoo Negara. Mereka berusaha membawa anak-anak berkunjung ke sini dan ada juga yang mendaftar untuk pakej mengambil “anak angkat’ kepada haiwan di situ yang merupakan inisiatif paling mendapat sambutan setakat ini.

Namun, usaha itu mungkin tidak mencukupi untuk menyelamatkan haiwan-haiwan di Zoo ini.

Angie Chin-Tan dari HanaFundMe, satu badan mencari dana yang diujudkan untuk menyokong wanita dan tujuan amal lain, tampil untuk membantu.

Angie Chin-Tan dari HanaFundMe.

Angie telah mengambil keputusan untuk melihat sendiri keadaan di Zoo Negara. Dia terkesan dengan situasi yang dilihatnya terutama di bahagian “Children’ World” atau taman dunia kanak-kanak.

“Bangku-bangku perlu dicat semula, tidak ada bumbung di stadium mini untuk melindungi kanak-kanak sekiranya hujan, tidak ada tempat mencuci untuk kanak-kanak dan dapurnya juga sudah usang dan terbengkalai,” ujarnya.

Angie menambah bahawa dia bukan hanya memikirkan keadaan Zoo semata-matanya tetapi juga tempat yang menjadi tumpuan kanak-kanak apabila berkunjung di sini.

“Kerana itulah HanaFundMe ingin membantu membaik pulih taman dunia kanak-kanak di Zoo ini agar kanak-kanak dapat menikmati kenangan indah bersama keluarga apabila berkunjung di sana,” jelas Angie.

“Children World” atau taman dunia kanak-kanak di Zoo Negara yang berada dalam keadaan usang.

Angie kemudian membuat kajian mengenai bagaimana hospital-hospital di luar negara mempraktikkan program sumbangan apabila ingin membina penambahan bangunan baharu.

Hospital tersebut akan melukis pokok pada dinding hospital dan pada dahannya tertulis nama-nama penderma. Penderma tersebut bukan hanya dikhususkan kepada penderma wang tunai tetapi juga kepada penderma organ.

Angie sememangnya tertarik dengan konsep program tersebut dan kemudian melakukan perkara yang sama di Zoo Negara dengan memberi nama ‘Walls of Hope’ atau Dinding Harapan.

Menurut Angie, dinding tersebut akan dikenali sebagai panel penghormatan untuk menghormati individu yang menyokong kempen tersebut. Ia akan dibina di atas pagar stadium mini taman dunia kanak-kanak di Zoo Negara.

Rancangan Angie untuk membina “Walls of Hope”.

Setelah panel ini dibina, ibu bapa boleh membawa anak-anak mereka dan bercerita tentang bagaimana nama mereka boleh tercatat dalam sejarah lengkap dengan bukti.

Dan yang paling penting, mereka dapat memberitahu anak-anak mereka tentang bagaimana panel ini menandakan kerja keras dan usaha yang dilakukan untuk mengembalikan kegemilangan taman dunia kanak-kanak di Zoo Negara.

Tetapi, sebelum ia berlaku, banyak kerja perlu dilakukan.

“Sasaran minimum kami adalah untuk mengumpulkan dana sebanyak mungkin untuk Zoo Negara yang akan digunakan untuk memperbaiki dan membaik pulih taman dunia kanak-kanak ini,” jelasnya.

Dia juga berharap dapat menambah warna pada taman ini selain membina beberapa aktiviti lain yang menarik minat kanak-kanak.

Angie berharap dapat memperbaiki taman dunia kanak-kanak dengan dana dari kempen HanaFundMe.

Sebelum ini, HanaFundMe telah mengumpulkan dana untuk membekalkan PPE kepada petugas barisan hadapan di Sabah dan bekerjasama dengan syarikat telco tempatan untuk menaja 60 peranti mudah alih yang lengkap dengan pelan pascabayar GX68 bagi membantu pelajar-pelajar sekolah mengikuti pembelajaran sekolah mereka.

Tidak ada pertolongan yang terlalu kecil atau besar buat HanaFundMe, kerana mereka pernah membantu pekerja penyapu jalan untuk membeli sebuah motosikal baharu.

“Makna menerima kembali kebaikan yang diberi adalah subjektif, kerana dengan membantu orang lain akan membina tahap peribadi dan rohani kita. Walaupun hanya mendapat sejumlah kecil dana namun, ia akan memberi satu perbezaan bagi mereka yang sangat memerlukannya,” kata Angie.

Kini, Angie dan HanaFund Me akan mengalihkan tumpuan mereka untuk menyelamatkan Zoo Negara yang menjadi kesayangan rakyat Malaysia.

Pelajar sekolah dengan telefon bimbit yang ditaja, hasil dari kerjasama HanaFundMe dengan syarikat telco tempatan.

Rakyat Malaysia boleh bersama-sama menyokong inisiatif HanaFUndMe untuk mengumpulkan dana sebanyak RM150,000 untuk Zoo Negara. Bagi setiap RM100 yang disumbangkan, ibu bapa atau anak mereka boleh mengabadikan nama mereka di “Walls of Hope”, dinding yang akan memahat sejarah sumbangan mereka.

“Perancangan kami untuk mendirikan “Walls of Hope” menjelang Mac 2021 dan kami sangat berharap agar rakyat Malaysia dapat bersama-sama menyokong inisiatif ini bagi mencipta ruang yang lebih kondusif untuk anak-anak,” ujarnya.

Untuk maklumat lanjut mengenai kempen ini dan cara membantu untuk menyelamatkan Zoo Negara, lihat halaman HanaFundMe disini.

Tidak ada impian yang terlalu besar bagi rakyat Malaysia untuk bersatu dan menyelamatkan rumah haiwan kesayangan kita.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]