Pesakit positif Covid-19 lari dari hospital di Hong Kong diburu

0
154
Orang ramai memakai pelitup muka ketika berada di stesen kereta api bawah tanah pada waktu puncak di Hong Kong pada Mac. (Gambar AP)

HONG KONG: Pihak berkuasa Hong Kong memburu seorang pesakit positif Covid-19 yang melarikan diri ketika menjalani rawatan di salah sebuah hospital terbesar di bandar itu, menurut pegawai kesihatan.

Lelaki berusia 63 tahun, yang dikenal pasti sebagai pesakit ke-7,379 itu, dimasukkan ke wad pengasingan Hospital Queen Elizabeth pada 14 Dis selepas disahkan positif Covid-19.

Bagaimanapun, lelaki itu melarikan diri dari wad hospital melalui tangga pada Jumaat dan gagal ditangkap.

Satu kenyataan dari hospital menyebut pesakit itu melarikan diri dengan memakai jaket bagi menutup pakaian hospital yang dipakainya.

“Kakitangan nampak lelaki itu sedang berjalan melarikan diri dari wad … mereka mengejarnya tetapi usaha itu gagal,” kata seorang jurucakap hospital.

Difahamkan, ia merupakan kes pertama melarikan diri dari hospital membabitkan pesakit Covid-19.

Hong Kong mencatatkan 7,970 kes Covid-19, menurut laman web kerajaan.

Menurut kenyataan pihak berkuasa hospital pada Jumaat, dua pesakit berusia 84 dan 85 tahun, meninggal dunia dua hari lepas.