
PETALING JAYA: Setahun yang lalu, masa depannya tampak cerah. Sebagai pelajar penerbangan dari Swinburne University, Australia, Nicole Ng merasakan impiannya terbang di awan biru akan menjadi kenyataan.
Namun, itu sebelum pandemik COVID-19 datang menyerang dan kedatangannya telah melenyapkan cita-cita gadis ini serta masyarakat di seluruh dunia.
Tetapi Nicole tidak patah semangat, di samping mengejar cita-citanya, dia mempunyai bakat menyanyi.
Sempena kedatangan perayaan Krismas ini, Nicole telah melancarkan album mini yang mana, hasilnya akan disumbangkan untuk tujuan amal.
Menurut Nicole, waktu ini dia masih bekerja sambilan di sebuah syarikat penerbangan tetapi tidak banyak yang dapat dilakukan berikutan penerbangan antarabangsa yang lumpuh.
Memandangkan dia tidak sibuk dengan pekerjaan, maka dia memutuskan untuk menumpukan perhatian untuk mengembangkan bakat nyanyiannya.
Menyanyi adalah salah satu minatnya kerana dia berasal dari keluarga yang mempunyai bakat muzik.
“Saya bukanlah profesional tetapi saya suka menyanyi. Saya pernah membuat persembahan di sekitar ibu kota tetapi ia hanya sekadar suka-suka,” ujarnya.

Sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan yang pertama dilonggarkan, Nicole merancang untuk merakamkan album dengan bantuan beberapa rakan. Mereka kemudian berlatih dan mempersiapkan diri untuk rakaman.
“Tetapi kemudian, keadaan menjadi bertambah buruk dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dikuatkuasakan pula. Kami tidak dapat melakukan perjalanan merentas daerah, jadi kami harus berhenti berlatih dan membuat rakaman,” katanya.
Melihat banyak ‘pintu-pintu’ yang ditutup, Nicole kemudian memutuskan untuk menurunkan skala projek, meninggalkan dirinya dan dua pemuzik, Gabriel Januarius dan Macolm Ambrose untuk meneruskan projek tersebut.
Januarius adalah pemain piano profesional yang ditemui Nicole melalui rakan sementara Ambrose, pemain dram adalah teman sewaktu kecilnya.
Demi keselamatan diri, mereka merakamkan bahagian masing-masing dari kediaman mereka secara individu.
Namun, ia tidak mudah bagi Nicole. Walaupun dia memiliki peralatan rakaman yang sesuai tetapi bilik tidur bukanlah studio yang sesuai baginya.

“Jiran saya sedang mengubahsuai rumah jadi, saya terpaksa menunggu sehingga pekerja tidak mengerudi atau melakukan ketukan, barulah saya boleh menyanyi,” ujarnya sambil tetawa.
Cabaran bukan setakat kisah ubahsuai rumah, namun bunyi bising pada lalu-lintas di luar tingkap juga mengganggu.
Walaupun terpaksa melalui pelbagai rintangan, mereka akhirnya berjaya menghasilkan sebuah album mini, terdiri dari lima lagu Krismas dengan judul, ‘Behold Your King’.
Empat adalah lagu-lagu Krismas yang popular manakala lagu kelima adalah ciptaan dan komposisinya sendiri. Genre lagu ini adalah hasil gabungan jazz dan pop.
Nicole mengatakan dia tidak terlalu memikirkan mengenai pelancaran album itu, memandangkan ia hanya satu projek kecil dan peribadi untuk tujuan amal. Namun, penjualan album ini telah melebihi jangkaannya dengan lebih dari seratus album terjual dalam masa tiga hari.
“Saya mempunyai rancangan untuk membuat album penuh, dirakam di studio dengan kumpulan besar tetapi waktunya bukan sekarang,” katanya.
Lawati Nicole Kylie untuk mengetahui lebih lanjut dan membeli Behold Your King sambil membantu menyumbang kepada tujuan amal.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]