4 anggota polis, seorang awam, edar dadah dalam lokap ditahan semula

0
377
Gambar Reuters.

JOHOR BAHRU: Empat daripada sembilan anggota polis dan seorang awam yang dipercayai terlibat dalam kes pengedaran dadah di dalam lokap, ditahan semula pada 10 Dis lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata anggota berpangkat koperal dan lans koperal berumur 28 hingga 36 tahun dan orang awam berumur 23 tahun itu ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor di IPD berkenaan pada 9 pagi.

Katanya, kelima-lima suspek disiasat di bawah Seksyen 3 (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985 setelah tamat menjalani tempoh tahanan reman pada 3 hingga 10 Dis lepas di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurutnya, lima lagi anggota yang turut menjalani tempoh reman yang sama, dibebaskan sebagai saksi pendakwaan.

“Kita tangkap 10 suspek iaitu sembilan anggota dan seorang awam dan daripada jumlah ini, lima anggota kita bebaskan sebagai saksi pendakwaan manakala empat anggota dan seorang awam ditahan semula dan disiasat di bawah LLPK,” katanya pada sidang media hari ini.

Pada 29 Nov lepas, polis Johor menahan sembilan anggota daripada IPD berkenaan termasuk seorang wanita, merangkumi konstabel dan koperal yang bertugas di lokap berkenaan, serta seorang wanita kerana disyaki mengedar dadah di dalam lokap itu.

Polis turut merampas sejumlah dadah iaitu 38.65 gram syabu, 42.25 gram heroin serta sejumlah tembakau dari lokap tersebut.