PH: Tolak Belanjawan semasa undian akhir esok, suara rakyat tidak didengar PN

0
654

PETALING JAYA: Pakatan Harapan menyeru Ahli Parlimen menolak Belanjawan 2021 semasa undian akhir yang dijangka berlaku esok, kerana bajet Perikatan Nasional itu tidak memenuhi apa dipohon dan diharapkan wakil rakyat.

Majlis setiausaha gabungan itu menyenaraikan beberapa tuntutan yang tidak seperti diharapkan itu, seperti kemudahan mengeluarkan wang caruman Akaun 1 KWSP, moratorium automatik ke atas bayaran balik pinjaman bank, pendidikan anak-anak, kehilangan pekerjaan, dan bantuan kepada petugas barisan depan.

“PH menggesa agar semua Ahli Parlimen, sama ada di sebelah pembangkang mahupun dalam kalangan penyokong kerajaan, yang memahami Belanjawan ini tidak menepati objektif dan matlamat untuk memerangi Covid-19, membantu rakyat, dan menghidupkan semula ekonomi, agar memilih untuk menolaknya pada bacaan kali ketiga,” kata Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution; Setiausaha Agung Amanah, Dr Hatta Ramli; dan Setiausaha Organisasi DAP, Loke Siew Fook dalam kenyataan bersama.

Setakat hari ini, 25 daripada 27 kementerian berjaya melepasi undian peringkat jawatankuasa, di sebalik persoalan yang ditimbulkan pembangkang berhubung keabsahan pentadbiran Muhyiddin Yassin.

Minggu terakhir sidang Dewan Rakyat yang bermula hari ini amat ditunggu-tunggu bagi melihat sama ada Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 diluluskan.