HomePoliticsMKN, Kementerian Pelancongan masih runding pembukaan sektor

MKN, Kementerian Pelancongan masih runding pembukaan sektor

Ismail Sabri Yaakob.

PETALING JAYA: Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Pelancongan, Seni, dan Budaya masih dalam rundingan tentang pembukaan beberapa sektor, susulan kebenaran rentas negeri sejak Isnin.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata pihaknya menerima pelbagai permohonan daripada pihak yang terlibat dalam sektor pelancongan, seperti Legoland dan Zoo Negara.

“Kita sudah meminta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya membuat kertas cadangan mereka, dari segi pembukaan kawasan pelancongan yang mereka fikirkan perlu,” katanya pada sidang media.

“Begitu juga dengan aktiviti sukan. Kementerian Belia dan Sukan misalnya turut memohon pembukaan untuk aktiviti sukan, seperti bola sepak, futsal dan sebagainya. Mereka juga sedang membuat permohonan. Akhirnya kita terpaksa buka aktiviti seperti ini,” katanya dalam sidang media harian, hari ini.

Ismail menarik perhatian media kepada perbezaan antara perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dan perintah kawalan pergerakan pemulihan.

“Di kawasan PKPB aktiviti sosial masih tidak dibenarkan, manakala di kawasan PKPP, aktiviti sosial dibenarkan seperti majlis kenduri kahwin, majlis mesyuarat dan sebagainya. Apa yang penting adalah patuh kepada SOP ditetapkan,” katanya.

Mengulas mengenai arahan Sarawak yang menetapkan warga Malaysia yang ingin ke negeri berkenaan perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari, Ismail berkata, keputusan ditetapkan kerajaan negeri.

“Seperti kita tahu, SOP di Sabah dan Sarawak banyak ditentukan kerajaan negeri. Terutama dari segi kemasukan dari Semenanjung ke Sarawak. Kerajaan Sarawak yang tetapkan dari segi kuarantin untuk lindungi Sarawak yang kini merupakan negeri hijau.

“Saya akan bincang dengan Majlis Keselamatan Negeri Sarawak dan kerajaan Sarawak. Terutamanya dari segi keluhan rakyat negeri itu yang ingin pulang merayakan Krismas,” katanya.

Must Read

Related News