HomePolitics4,308 individu jujur dari zon merah COVID-19 buat ujian masuk Terengganu

4,308 individu jujur dari zon merah COVID-19 buat ujian masuk Terengganu

Pengarah Jabatan Kesihatan Terengganu Dr Nor Azimi Yunus berkata tindakan individu yang membuat penilaian risiko sangat dipuji kerana membantu jabatan membuat tindakan pencegahan lebih awal dan berkesan.

KUALA TERENGGANU: Seramai 4,308 individu dari kawasan zon merah COVID-19 yang berkunjung ke Terengganu, membuat penilaian risiko di klinik dan hospital negeri itu sejak pergerakan rentas negeri dibenarkan 7 Dis lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu Dr Nor Azimi Yunus berkata, individu terbabit datang secara sukarela, susulan pengumuman pihaknya yang menggalakkan pengunjung dari zon merah berbuat demikian, bagi mencegah penularan COVID-19 di negeri ini.

“Hasil saringan tersebut, seramai 21 individu disahkan positif COVID-19 dan enam daripada 433 kontak rapat yang dikenal pasti, juga didapati positif COVID-19.

“Keseluruhannya, jumlah kes COVID-19 yang positif adalah 27 orang. Semua dimasukkan ke hospital untuk mendapat rawatan, manakala semua kontak rapat pula dikuarantin sama ada di rumah atau di pusat kuarantin disediakan jabatan,” katanya menerusi Facebook.

Nor Azimi berkata, tindakan individu yang datang membuat penilaian risiko sangat dipuji, kerana ia membantu jabatan membuat tindakan pencegahan lebih awal dan berkesan.

“Bayangkan jika 27 kes positif itu tidak dikesan awal. Sudah pasti mereka akan menjangkiti keluarga atau rakan sekerja dan penularan akan menjadi lebih besar.

“Sebab itu pihak kami sangat menghargai tindakan jujur mereka datang membuat saringan secara sukarela walaupun akhirnya mereka didapati positif COVID-19. Kami yakin ramai lagi yang tidak datang membuat saringan. Sebab ini hanya nasihat bukan arahan wajib,” katanya.

Beliau berkata, penilaian risiko yang dilakukan itu membolehkan pengesanan kontak rapat, ujian saringan, rawatan dan isolasi dibuat dengan lebih pantas.

“Kami juga tahu susulan pengumuman ini bakal memberikan beban tambahan kepada petugas kesihatan. Tetapi kami berpegang kepada prinsip ‘no harm doing more but it is harmful doing less’,” katanya.

Must Read

Related News