HomeNEWS3 halangan pertumbuhan ekonomi negara, kata badan pemikir

3 halangan pertumbuhan ekonomi negara, kata badan pemikir

Malaysia perlu meningkatkan daya saing ekonominya.

PETALING JAYA: Sebuah badan pemikir meminta kerajaan melakukan pembaharuan ekonomi untuk meningkatkan daya saing negara di rantau ini pasca Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran Malaysia, Carmelo Ferlito menggariskan tiga halangan utama bagi pertumbuhan ekonomi negara.

Ia termasuk peningkatan kecenderungan nasionalistik yang menjejaskan keterbukaan ekonomi, terutama dalam pengambilan pekerja kolar biru dan buruh asing berkemahiran, “meminggirkan” sektor swasta oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan ketidakstablian politik yang menjejaskan hala tuju dasar.

“Kita mesti ingat Malaysia negara kecil dari segi pasaran domestik, jadi syarikat multinasional yang datang ke sini bukan bertujuan untuk menjadi lebih dekat dengan pasaran.

Carmelo Ferlito.

“Mereka datang ke sini kerana keterbukaan ekonomi, sistem cukai yang adil, penguasaan bahasa Inggeris yang baik dalam kalangan tenaga kerja, prasarana yang kukuh dan hingga baru-baru ini, kestabilan politik.”

Dengan pandemik ketika ini, Ferlito berkata perniagaan akan menjadi lebih sensitif terhadap faktor pelaburan daripada sebelum ini kerana ia juga sedang memulih dan Malaysia tidak boleh terus menganggap ia perkara biasa tanpa mengubah pendekatannya.

“Ia bukan seperti biasa,” katanya kepada FMT, sambil menambah ini bermaksud kerajaan persekutuan dan negeri perlu komited kepada pasaran yang lebih terbuka dan melonggarkan serta “berusaha lebih” untuk menarik pelaburan langsung asing.

“Negara jiran seperti Vietnam dan Indonesia sedang mengejar dan Malaysia perlu memulihkan daya saingnya.”

Ramon Navaratnam.

Ferlito berkata, Malaysia tergelincir dalam kedudukan indeks daya saing Forum Ekonomi Dunia, jatuh dari kedudukan ke-18 pada 2016 ke-27 pada 2019.

Walaupun Vietnam berubah pada tempoh sama, berada pada kedudukan ke-67 dan Indonesia jatuh pada tangga ke-50, Ferlito berkata kedudukan mereka dijangka meningkat.

“Dalam kes Indonesia, undang-undang cipta kerja baharu yang diperkenalkan untuk meningkatkan pelaburan akan meningkatkan daya saingnya. Vietnam pula meliberalisasikan ekonominya dengan cepat sekali dan ia mencapai pertumbuhan positif pada enam bulan pertama 2020 dan ekonominya juga dijangkakan tumbuh 2% pada 2020. Ini merupakan petunjuk yang daya saing mereka semakin meningkat.”

Sementara itu, pakar ekonomi lain Ramon Navaratnam berkata, politik serta polarisasi antara kaum dan agama ialah masalah besar kerana ia boleh menjejaskan persepsi terhadap kestabilan negara.

“Kita tidak boleh lagi menggunakan kaedah lama untuk melakukan sesuatu dan tetap berpuas hati,” katanya sembil menambah ekonomi mesti dibuka untuk lebih banyak persaingan dan mengurangkan dasar perlindungan.

Navaratnam berkata, kerajaan juga mesti melihat jurang antara mereka yang kaya dan miskin tanpa mengira bangsa dan agama.

“Tiada sesiapa pun patut dipinggirkan,” kata bekas timbalan ketua setiausaha Perbendaharaan itu.

“Terdapat keperluan yang besar untuk memastikan usahawan dan perniagaan mempunyai akses kepada peluang dan ia tidak harus dimonopoli oleh mana-mana kumpulan atau yang berkait dengan parti politik dan GLC.”

Must Read

Related News