246 pekerja Pecca Leather positif COVID-19

0
369
PLSB berkata kos keseluruhan bagi ujian saringan dan proses pembasmian kuman dianggarkan RM500,000 manakala kesan penutupan selama tujuh hari bahagian pengeluaran dijangka menjejaskan pendapatan kumpulan kurang 5%. (Gambar Facebook) 

PETALING JAYA: Pecca Leather Sdn Bhd (PLSB) mengesahkan seramai 246 pekerja di bahagian pengeluarannya dijangkiti COVID-19 menerusi ujian saringan bersasar terhadap 597 pekerja, baru-baru ini.

Dalam kenyataan, syarikat itu berkata sebagai langkah berjaga-jaga, PLSB bersetuju menutup bahagian pengeluarannya selama tujuh hari bermula semalam.

“Pekerja yang terjejas sedang mendapatkan rawatan susulan manakala kontak rapat kini menjalani kuarantin kendiri dan akan melakukan ujian saringan berkala,” kata syarikat itu.

Sehingga kini, tiada kes positif dilaporkan dalam kalangan kakitangan pengurusan syarikat itu.

Mengulas lanjut, PLSB berkata, kos keseluruhan bagi ujian saringan dan proses pembasmian kuman dianggarkan RM500,000 manakala kesan penutupan selama tujuh hari di bahagian pengeluaran dijangka menjejaskan pendapatan kumpulan kurang 5%.