2 kluster dikesan di KL, Selangor

0
244

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan mengenalpasti dua kluster baharu dalam tempoh 24 jam lalu membabitkan Selangor dan Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster Malawati dikesan di daerah Kuala Selangor, Selangor, manakala Kluster Tapak Bina Awan Lembah membabitkan daerah Lembah Pantai dan Titiwangsa, Kuala Lumpur.

“Kes indeks bagi Kluster Malawati dilapor positif pada 30 Nov hasil saringan individu bergejala. Setakat hari ini, seramai 143 individu disaring dengan 14 kes dikesan positif,” katanya dalam kenyataan.

Mengenai Kluster Tapak Bina Awan Lembah yang turut dikesan di Klang, Selangor, Hisham berkata, dua kes indeks bagi kluster ini dilapor positif sejak 4 Dis hasil saringan individu bergejala.

“Kedua-dua kes indeks adalah pekerja di sebuah tapak pembinaan di daerah Titiwangsa, Kuala Lumpur. Sehingga hari ini, seramai 441 individu disaring, yang mana 35 kes dikesan positif.”

Hisham berkata, sehingga hari ini, terdapat sebanyak 390 kluster dilaporkan termasuk dua kluster baharu yang dilaporkan hari ini.

Katanya, jumlah kluster yang tamat pula adalah sebanyak 203 kluster termasuk dua kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Kertang dan Kluster Sembulan.

“Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 187 kluster. Daripada jumlah itu, sebanyak 51 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini antara Kluster Bakti (500 kes), Batu Tujuh (53 kes), dan Tembok (49 kes).”